Thursday, August 4, 2011

cintaMu cinta abadi

6 comments:
Alunan ayat suci al-Quran yang sangat merdu jelas kedengaran dari bahagian atas rumah banglo dua tingkat itu. Suara merdu seorang wanita yang mampu membuatkan mereka yang mendengarnya terpaku dan ingin terus mendengar tanpa henti. Bacaan yang begitu tepat hukum tajwidnya itu sangat Berjaya mengubah suasana malam yang sunyi sepi dan juga suram di rumah itu menjadi tenang, setenang-tenangnya. Suara merdu itu terus berlagu, memuji kebesaran Maha Pencipta, Maha Kuasa.

Tok..tok..tok..

Malam yang tenang itu terganggu dengan bunyi ketukan pintu yang bertalu-talu. Alunan merdu sebentar tadi terus terhenti. Pemilik suara merdu itu terus berlari menuruni anak tangga tanpa sempat menanggalkan telekung yang tersarung di tubuhnya. Jam dinding yang terdapat di ruang tamu dikerling seketika sebelum membuka pintu. Tepat 2 pagi.

Nafas panjang ditarik sebelum dia membuka pintu itu. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti sebelum-sebelum ini. Apabila pintu dibuka, berdiri seorang lelaki yang cukup dikenali di hadapannya. Dengan rambut yang kusut masai serta bau hanyir yang tidak menyenangkan hidung sesiapa yang menghidu, lelaki itu terus menolak gadis yang kaku berdiri di hadapannya lalu melangkah masuk ke dalam rumah banglo yang tersergam indah itu.

Lelaki tadi terus menuju ke tingkat atas rumah tersebut. Si gadis berasa lega. Tubuhnya selamat dari sebarang kecederaan untuk hari ini. Dia turut melangkah naik ke tingkat atas dengan niat untuk menyambung bacaannya yang terhenti sebentar tadi.

Tiba di muka pintu biliknya, dia terkaku. Tubuh lelaki tadi yang lena di atas katilnya hanya dipandang sayu. Lelaki yang telah 5 bulan bergelar suaminya, tapi mereka tidak pernah menjadi suami isteri dalam erti kata yang sebenar. Sepasang suami isteri yang hanya termaktub di atas kertas sahaja. Dia masuk ke biliknya. selimut yang telah jatuh ke lantai diambil dan diselimuti suaminya itu sehingga ke paras dada. Lelaki itu tidak mungkin sedar perbuatannya setelah meminum air haram itu. Dia hanya mampu menggeleng kesal. Sungguh, dia sudah mati akal untuk mengubah lelaki ini.

Dia berlalu dan menuju ke ruang tamu yang terdapat di bahagian atas rumah itu bersama senaskhah al-Quran di tangan. Dia menyambung bacaannya. Apabila selesai membaca beberapa muka surat al-Quran itu, dia menyimpannya dan terus menghampar comforter yang diambil dari dalam biliknya, lalu membaringkan tubuhnya di situ. Dia perlu berehat. Kerana sebentar lagi dia perlu bangun untuk bersahur pula.
Hani terjaga apabila mendengar bunyi seperti orang sedang muntah dari arah biliknya. Pintu bilik yang memang dibiarkan terbuka memudahkan dia untuk terjaga sekiranya lelaki itu memerlukan apa-apa. Dia bergegas bangun dan melangkah ke arah biliknya yang hanya beberapa langkah dari tempat tidurnya itu.

Tiba di bilik, kelihatan katil yang menjadi tempat beradu lelaki itu semalam sudah kosong. Dia segera ke arah bilik air yang terdapat di dalam bilik itu pula. Kelihatan lelaki itu terbongkok-bongkok meluahkan segala isi perutnya. Hani mengurut perlahan belakang suaminya dengan niat dapat membantu, namun pantas tangannya ditepis oleh tangan kasar itu.

“Kau jangan sibuk! Keluar dari sini! Pergi balik bilik kau tu lah! hishhh!!” lelaki itu mengherdiknya kasar. Hani terkaku. Tembok kesabaran masih cuba dikukuhkan.

“Err.. hmm.. tapi ni la bilik saya.” Hani menjawab perlahan. Haziq yang mendengar jawapan itu terus terasa segar. Kepalanya yang berpusing kerana terjaga secara mengejut sebentar tadi sedaya upaya ditahan. Matanya dipejam celikkan supaya penglihatannya yang agak berbalam menjadi lebih jelas. Dia termalu sendiri apabila menyedari kesilapannya itu, tetapi egonya masih ingin dipertahankan.

“ Sedar diri sikit. Rumah ni rumah aku. Jadi, apa yang ada dalam rumah ni pun semua hak aku. Kau tu menumpang je dekat sini. Jangan nak perasan sangat bilik ni bilik kau. Aku bagi tumpang pun sebab ibu, tahu? Kalau tak, jangan harap.” Haziq bersuara kasar dan terus berlalu keluar.

Hani terkesima mendengar bicara kasar suaminya itu. Diakui bahawa selama 5 bulan perkahwinan mereka, lelaki itu tidak pernah bercakap secara lembut dengannya. Sepatutnya dia sudah kebal. Tetapi entah mengapa, ayat lelaki itu pada pagi Jumaat ini sangat menyentap perasaannya. Terasa dirinya terlalu hina bagi lelaki itu, dan juga terasa dirinya tidak pernah diterima di rumah ini.

Haziq terus berjalan menuju ke biliknya yang bersebelahan dengan bilik Hani. Dalam hati menyalahkan kecuaian dirinya sendiri. Dia melihat jam di dinding. 4 pagi. ‘Ahh… sambung tidur lagi bagus’. Desis hatinya. Terus dia menuju ke katil dan menyambung tidurnya yang terganggu sebentar tadi.

Hani menuju ke dapur di tingkat bawah rumah itu. Seleranya sudah mati berikutan rasa kecewa yang telah dihadiahkan oleh Haziq sebentar tadi. Namun dia masih perlu memasak untuk bersahur. Jika tidak dikhuatiri dia tidak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk membersihkan setiap inci rumah banglo milik suaminya itu.

Bahagian sejukbeku dibuka, ayam dikeluarkan. Kemudian dia melihat bahagian sayur pula, sayur kalian dikeluarkan. Ikan masin turut dikeluarkan dari peti sejuk itu. Melihat pada apa yang ada, dia memutuskan untuk memasak ayam goreng kunyit bersama kalian ikan masin. Dilihat bahan-bahan memasak sudah semakin berkurangan. Mungkin selepas suaminya pergi kerja nanti dia boleh ke kedai untuk membeli bahan-bahan untuk memasak.

Selesai memasak dan menghidang, Hani bergegas ke tingkat atas untuk mengejutkan Haziq. Rasa kecil hatinya diletakkan ke tepi dahulu. Yang penting dia harus mencuba sedaya upaya untuk membawa suaminya ke jalan kebenaran. Kerana telah jelas di dalam al-Quran, di dalam surah An-Nur ayat 26 menyatakan “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia”.

Dan apabila telah ditetapkan jodohnya dengan lelaki yang bernama Haziq, yang bersifat seperti itu, mungkin ia merupakan dugaan dari Allah untuknya. Untuk menguji keimanan serta kesabarannya. Samada dia mampu atau tidak untuk membawa lelaki itu yang sudah jauh terpesong, untuk pulang semula kepada penciptanya. Dan apabila difikirkan semula, ia boleh menjadi suatu kelebihan kepada dirinya. Kerana dia telah diberikan peluang untuk berdakwah. Walaupun sepatutnya yang menjadi pemimpin di dalam bahtera rumahtangga adalah sang suami.

Dia menerima lelaki itu kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapanya. Dan setelah dia melakukan solat istikharah, meminta petunjuk, hatinya berat untuk menerima lamaran keluarga lelaki itu. Haziq merupakan anak kepada kenalan rapat ibu bapanya. Walaupun dia tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia tetap bersetuju kerana dia yakin dengan petunjuk yang telah diberikan. Dia yakin Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

Walaupun pada awalnya dia agak kecewa apabila mengetahui sifat sebenar Haziq, namun dia tetap terus bersabar. Kerana dia telah dididik oleh ibu dan bapanya dengan ilmu agama yang mencukupi. Apabila dia bergelar isteri, adalah menjadi tanggungjawabnya juga untuk mempertahankan rumahtangga mereka itu dan dia sememangnya ingin menjadi seorang isteri yang solehah.

Melalui bacaannya, dia ada terbaca sebuah artikel yang menyatakan  

Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.”

Dan kerana itu, dia redha dengan takdir yang telah Allah tetapkan untuknya. Biar 5 bulan yang berlalu bagaikan belum menampakkan hasil, tetapi dia akan terus menunggu sehingga dibukakan pintu hati lelaki itu untuk menerima kebenaran.


“Awak.. bangun sahur. Dah nak pukul 5 dah ni. Nanti tak sempat pula nak sahur.” Hani mengejutkan Haziq yang masih nyenyak tidur. Melihatkan Haziq yang bagaikan tidur mati, dia memberanikan diri untuk menggerakkan tubuh lelaki itu. Walaupun dia telah menerima tengkingan setiap kali dia mengejut lelaki itu bersahur sebelum-sebelum ini, dia tetap tidak mahu berputus asa. Perjuangannya masih belum selesai.

Tubuh Haziq bergerak sedikit. Kali ini Haziq tidak menengkingnya. Hani memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Semoga lelaki ini akan terus berubah sedikit demi sedikit. Haziq dilihatnya melangkah ke bilik air. Mencuci muka barangkali. Hani tersenyum sendiri. Dia betul-betul lega. Lalu dia terus melangkah ke bawah semula, menunggu Haziq dia meja makan. Dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kemunculan Haziq di meja makan itu. Kerana setakat ini, Haziq tidak pernah bersahur bersamanya. Dan lebih menyedihkan, lelaki itu bukan hanya tidak bersahur, tetapi dia tidak berpuasa juga.

Bagaimana Hani mengetahuinya? Kerana setiap pagi sebelum pergi kerja, Haziq pasti akan ke dapur dan membancuh air milo sendiri. Dan dengan tanpa perasaan malu sedikitpun, dia menikmati air milonya di meja makan rumah mereka. Dan sudah beberapa kali dia terserempak dengan Haziq yang sedang menikmati air milo itu. Dia mencuba untuk menegur Haziq, tetapi setiap kali dia menegur, pasti Haziq akan mengherdiknya kembali.

Hani berasa tersentuh dan gembira apabila mendengar derap kaki yang sedang menuruni tangga rumah banglo itu. Namun kegembiraan itu disembunyikannya. Dia tidak mahu Haziq menengkingnya lagi.

Haziq duduk di kerusi berhadapan dengan Hani. Sekali lagi Hani berasa terharu. Ini kali pertama mereka makan semeja di rumah ini. Sebelum ini Haziq tidak pernah sudi untuk makan semeja dengannya.

Haziq hanya diam. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilakukannya. Namun dia hanya diam sahaja. Apabila nasi dihidangkan oleh Hani, dia hanya menerima dan terus makan tanpa banyak soal. Dia keliru dengan perasaannya sendiri.

“Awak, pagi nanti saya nak pergi beli barang dapur. Bahan-bahan nak memasak semua dah hampir nak habis. Boleh ye?” Hani meminta izin dari suaminya setelah mereka selesai makan dan sedang menunggu azan Subuh.

“Hmm.. pergi je la. Kau nak pergi mana-mana pun aku tak kisah. Tak nak balik terus pun takpe. Aman sikit hidup aku ni.” Haziq menjawab dingin. Hani terkedu, lalu terus terdiam. Dia bangun dan terus mengemas pinggan-pinggan kotor yang berada di atas meja itu.

Beberapa minit kemudian, kedengaran suara azan berkumandang dari surau berhampiran. Hani segera menyudahkan kerjanya untuk menunaikan solat pula. Apabila dia keluar dari dapur, Haziq masih berada di  meja makan. Langkah Hani terhenti.

“Awak, jom solat sekali?” Hani mencuba nasib.

“Kau solat la dulu. Kejap lagi aku solat sendiri. Tak payah tunggu aku.” Suara Haziq masih dingin. Hani berasa sedikit kecewa. Namun dia tetap tersenyum.

“Ok, saya solat dulu lah kalau macam tu. Assalamualaikum.” Hani terus berlalu ke biliknya. Seperti biasa, usai solat Subuh, dia mengaji dahulu sebelum memulakan rutin hariannya iaitu mengemas rumah dan sebagainya.

Di bilik sebelah,Haziq hanya berteleku di sisi katilnya. Suara merdu milik Hani yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran itu memberikan dia ketenangan. Wajahnya diraup. Sudah terlalu lama dia hidup bergelumang dosa. Walaupun dia sudah tidak menyentuh air haram itu lagi sejak sebulan yang lalu, tetapi dia masih tidak mampu menepis ajakan rakan-rakannya ke kelab-kelab untuk bersuka ria. Dan disebabkan itu, malam tadi badannya berbau hanyir. Bukan kerana dia menyentuh air haram itu, tetapi bau itu melekat akibat dari rakannya yang termuntah di atas bajunya.

Dia sengaja pulang seperti dalam keadaan mabuk untuk menyakiti hati gadis itu. Dan betapa dia kagum dengan ketabahan gadis bernama Nur Izhani ini. Betapa dia seorang yang sangat penyabar. ‘Lalu apa lagi yang aku mahu? Aku sudah memiliki seorang isteri yang sempurna. Apa lagi yang kau mahukan, Haziq?’ Haziq bertanya pada diri sendiri.

‘Aku tidak mempunyai keberanian untuk berhadapan dengannya.’ Dia menjawab sendiri persoalan itu.

‘Dan disebabkan itu kau berkasar dengannya?’ Satu suara bertanya kembali.

‘Ya. Aku berkasar dengan dia kerana ego ku. Aku terlalu ego.’ Haziq meraup wajahnya lagi.

‘Rendahkan egomu. Terus teranglah dengan dia selagi kau mempunyai kesempatan.’ Suara itu seakan memujuknya.

‘Aku takut.. aku takut dia tak mahu terima aku. Aku telah melayannya dengan sangat buruk. Aku tidak mengangkat martabatnya sebagai seorang isteri. Aku sering menengkingnya. Aku menghinanya.’ Suara hatinya masih bertingkah.

‘Belum cuba, belum tahu. Jangan sampai kau menyesal suatu hari nanti.’ Suara itu terus menyepi.

Haziq bangun. Bersiap untuk ke pejabat. Setelah sempurna, dia melangkah turun ke bawah. Kelihatan Hani sedang mengemas ruang tamu rumah mereka. Haziq tiba-tiba berasa kekok. Hatinya berbelah bahagi.

“Hani..” dia bersuara perlahan, namun dapat didengari oleh Hani. Hani berpaling menghadap Haziq.

“Awak panggil saya?” Hani bertanya meminta kepastian.

“Err.. hurmm..” Haziq mati kata. Tangannya menggaru kepala yang tidak gatal.

“Kenapa?” Hani bertanya hairan.

“Ermm.. nothing.. nothing. Not a thing.” Haziq menjawab kalut. Hani semakin pelik.

“Ohh.. ok.. awak nak pergi kerja dah?” Hani bertanya juga walaupun dia tahu jawapannya. Sungguh dia pelik. Haziq tidak pernah berbicara lembut begini dengannya. Berbicara dengan baik. Selalunya dia sering dihidang dengan kata-kata yang kesat.

“ Aaa… a ah. Abang pergi dulu.” Haziq mengubah panggilannya tiba-tiba. Dia terkejut dengan apa yang diucapkan sebentar tadi. Namun dia nampak, Hani juga terkejut dengan apa yang keluar dari mulutnya sebentar tadi.

Hani terkaku seketika. Dulu apabila dia memanggil Haziq dengan panggilan ‘abang’ semasa awal perkahwinan mereka, Haziq pasti akan memarahinya. Matanya akan mencerlung setiap kali Hani memanggilnya ‘abang’. Disebabkan itu, Hani hanya membahasakan dirinya saya-awak sahaja. Kerana untuk ber ‘aku-kau’, terlalu kasar baginya.

Melihat Hani bagaikan tidak memberi respon, hati Haziq disapa sedikit kecewa. Dia terus melangkah untuk ke keretanya. Hani yang bagaikan baru tersedar, segera mengekori langkah Haziq ke kereta. Sebelum Haziq masuk ke kereta, Hani terlebih dulu memanggilnya.

“Abang..” Panggilan itu bagaikan air yang disimbah ke taman hati Haziq. Haziq merasakan hatinya berbunga-bunga walaupun hanya dengan mendengar panggilan itu. Dia berpusing menghadap Hani.

“Ye?” dia pula bertanya kepada Hani. Giliran Hani pula kalut sendiri.

“err..ermm.. errrr..salam?” Hani menghulurkan tangan untuk bersalam setelah selesai berkata-kata. Haziq terus menyambut huluran tangan itu. Buat kedua kalinya selepas sesi pembatalan air sembahyang, Hani berpeluang untuk bersalaman dan mencium tangan suaminya. Tanpa teragak-agak, Haziq mencium dahi isterinya. Hatinya terasa lapang. Hani tersenyum gembira. Rasanya inilah hari yang paling gembira buatnya sepanjang dia bergelar isteri. Dan perasaan ini lebih gembira berbanding semasa dia Berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang setahun yang lalu.

Walau tiada kata cinta dan sayang diucapkan oleh Haziq, dia tetap rasa bahagia dengan perubahan Haziq itu. Haziq pula ke pejabat dengan senyuman yang lebar, selebar-lebarnya.

Haziq menghidupkan telefon bimbitnya yang telah dimatikan sepanjang dia menghadiri mesyuarat tadi. Sudah menjadi kebiasaannya untuk mematikan telefon bimbit setiap kali bermesyuarat. Kerana dia tidak mahu diganggu sepanjang mesyuarat dijalankan.

            Dia terkejut apabila melihat 15 panggilan tidak dijawab. 10 panggilan dari ibunya dalam masa lebih kurang 20 minit yang lalu dan 5 panggilan lagi dari nombor yang tidak dikenali, juga pada masa yang hampir sama. Dia menelefon ibunya kembali setelah tiba di bilik pejabatnya. Pasti ada hal mustahak yang ingin ibunya sampaikan sehingga sanggup menelefonnya berkali-kali.

“Assalamualaikum, ibu. Ada apa ibu telefon Haziq tadi? Haziq tengah meeting. Ibu kan tahu kalau Haziq ada meeting Haziq off handphone.” Haziq terus menjelaskan keadaan sebenar. Dia diam sebentar untuk mendengar jawapan ibunya. tangannya tiba-tiba menggeletar.

“A..a.. apa??!! Tak mungkin!” Haziq bersuara bagaikan orang hilang arah. Dia yang tadinya sedang duduk di kerusi terus berdiri. Tiba-tiba kerusi itu dirasakan panas.

“Haziq.. ibu tak main-main. Hani dah tak ada. Dia dah pergi selama-lamanya. Dia accident masa lintas jalan nak ke kereta lepas beli barang dapur dekat pasaraya tadi.” Suara Hajjah Maimunah hampir tidak kedengaran. Dia juga tidak percaya menantunya telah pergi selamanya.

“Ibu tipu.. Haziq tak percaya. Baru pagi tadi dia salam Haziq.” Haziq bersuara lirih. Hanya dia faham apa yang dimaksudkan dengan ayatnya itu tadi. Betapa dia menyesal dengan tindakannya yang tidak menghargai Hani selama ini.

“Ibu tak tipu, Haziq. Pihak hospital dalam perjalanan nak hantar jenazah Hani ke rumah kita. Haziq balik cepat ye, nak?” Hajjah Maimunah sudah tidak dapat menahan sebak di dada. panggilan terus dimatikan.

Haziq terkaku. “Hani.. kenapa cepat sangat tinggalkan abang?”

Dia terus berlari menuju ke kereta yang diparkir di basement. Kereta dipandu laju menuju ke rumah ibunya. Dia ingin menatap wajah itu untuk terakhir kali, untuk disemadikan di dalam sekeping hati miliknya.


“Haziq.. mari turun, berbuka. Dah nak masuk waktu dah ni. Tak elok berbuka lambat-lambat.” Ibunya memanggil bersama ketukan di pintu. Haziq menatap kertas yang sudah kekuningan di tangan. Surat pertama dan terakhir dari Hani. Yang ditulis sebelum dia keluar ke pasaraya dan sebelum berlakunya kemalangan yang meragut nyawa isterinya itu.

“Ya, ibu. sekejap.” Surat yang sudah setahun usianya itu dibaca lagi.

‘Assalamualaikum, suami yang dikasihi, disayangi dan dihormati.
Sungguh, Hani sangat bersyukur dengan perubahan abang pagi tadi. Tiada apa yang lebih menggembirakan Hani selain daripada melihat abang kembali ke jalan-Nya. Hani minta maaf kalau hani ada melakukan kesalahan sepanjang kita bergelar suami isteri. Entah kenapa, hani rasa ingin menulis surat ini untuk abang. Terasa bagaikan Hani akan pergi jauh tak lama lagi.
Mungkin janji Hani dengan Allah dah tiba. Hani harap abang akan terima segala takdir yang telah ditetapkan dengan redha. Kerana pasti ada hikmah di sebalik segala yang berlaku.
Walaupun tidak diungkap dengan kata-kata, Hani tahu pasti sudah ada sedikit sayang dan cinta dari abang untuk Hani. Betul tak? Dan ketahuilah, Hani akan sentiasa sayang dan cintakan abang, dunia dan akhirat.
Dan jangan disebabkan pemergian Hani, abang berpaling dari Allah dan kembali menjadi abang yang dulu. Jadikan cinta antara kita, cinta yang diredhai. Cinta yang dipertemukan untuk mencari jalan Allah. Kerana sebaik-baik cinta hanyalah cinta kepada Allah. Dia akan sentiasa membalas cinta hambaNya.
Salam sayang,
Hani.’


 “Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman. Permudahkanlah segala urusannya di sana. Ya, Allah, sesungguhnya aku ini hambaMu yang hina. Telah jauh aku tersasar dari jalanMu. Telah lama tidak ku hamparkan sejadah untuk sujud menyembahMu. Aku telah lalai dengan syurga dunia, ya Allah. Aku telah hanyut mengikut nafsuku. Aku telah melupakanMu. Ya Allah, Kau redhailah perjalananku agar aku tidak tersesat lagi. Dan kini telah aku sedari, cintaMu cinta abadi.”


Dia meraupkan wajahnya setelah selesai membaca doa dan terus bergerak keluar dari bilik yang telah kembali menjadi tempat tidurnya setelah pemergian Nur Izhani.

click-click