Monday, May 30, 2011

jangan tinggal maya 2



Maya mengurut perlahan lehernya yang terasa lenguh. Hari ini penghuni rumah ini mengadakan aktiviti bagi mengisi masa lapang mereka. Mereka beriadah bersama pegawai di rumah perlindungan ini yang turut menghadirkan diri, termasuk Ummi Khadijah. Pegawai rumah perlindungan ini tidak menetap bersama mereka, sebaliknya mereka berulang alik dari rumah keluarga. Yang tinggal bersama mereka hanyalah warden yang akan menjaga keperluan mereka. Terdapat 3 orang warden di sini iaitu kak Hani, Kak Farah dan kak Aminah. Namun begitu, sekiranya terdapat aktiviti bersama, para pegawai akan turut serta bersama mereka kerana ini merupakan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara pegawai dengan pelatih di sini.

Fatin yang melihat Maya sedang termenung, menegurnya. “ Dah nak tidur ke? Penat kan hari ni?”

Maya tersentak lalu mengalihkan matanya ke arah Fatin yang sedang menanti jawapannya. “ hmmm… A ah.. Penat betul. Dah lama tak bersukan macam tadi,” dia menjawab sambil tersenyum.

Fatin tersenyum sambil mengangguk. “tu la.. aku pun sama. Last bersukan time sekolah dulu. Hehe..”

Maya turut mengangguk. Lalu dia berbaring. “Aku tidur dulu la ye? Mata dah tak boleh tahan lagi ni. Selamat malam..”

Fatin tersenyum dan membalas ucapan selamat malam juga. Hatinya baru berkira-kira untuk berbual lebih lama dengan Maya apabila gadis itu memberi respon yang agak positif semasa berbual dengannya tadi. Kalau sebelum ini, ditanya sepuluh patah, nak jawab sepatah pun susah. Tetapi lain pula keadaannya malam ni. Walaupun mereka belum mampu bergelak ketawa, tetapi sekurang-kurangnya Maya sudah bercakap lebih daripada sepatah dengannya.

“Ok, Fatin. Cukupla nak bermonolog dengan diri sendiri. Time to sleep.” Fatin berkata sendirian. Usai mematikan lampu bilik mereka dan membaca doa tidur, Fatin terus melelapkan mata.

Seorang kanak-kanak perempuan kelihatan memeluk tubuh di satu sudut ruang tamu rumah kayu itu sambil menangis teresak-esak. Tangannya menggigil apabila menyaksikan seorang lelaki memukul seorang wanita di hadapannya tanpa belas kasihan. Kanak-kanak itu ingin menjerit, tetapi dia tidak mampu mengeluarkan suara. Dia takut.. terlalu takut untuk berkata apa-apa.

Tiba-tiba wanita yang dipukul itu terjatuh di hadapan kanak-kanak tersebut. Wanita itu mengerang kesakitan. Kanak-kanak itu terkejut melihat keadaan wanita itu. Di bibirnya mengalir darah, akibat daripada tamparan yang diterima daripada lelaki tadi. Melihatkan itu, datang keberanian dalam diri gadis kecil tadi. Dia tidak sanggup lagi untuk berdiam diri.

Kanak-kanak itu bangun dan berlari ke arah lelaki itu. Dia menarik tangan lelaki yang semakin menghampiri wanita tadi, dengan niat untuk menghentikan langkah lelaki tersebut. Malangnya, cengkaman tangan kecil itu terlepas hanya dengan sekali rentapan sahaja.

“ Kau jangan masuk campur!! Nanti aku pukul kau sekali, baru kau tahu!!” Lelaki itu menjerit ke arah kanak-kanak tadi.

“ Ay..ayah..ja..jangan pukul mak..kesian mak sa..sakit..” gadis itu bersuara takut-takut. Tergagap-gagap dia mengeluarkan kata-kata tersebut. Bimbang akan semakin menaikkan kemarahan lelaki itu yang nampaknya seperti singa kelaparan.

“ Aku kata jangan masuk campur!! Degil betul budak ni!!” lelaki yang dipanggil ayah itu kembali menjerit dan memberikan renungan yang tajam terhadap kanak-kanak tadi.

“ Ayah..ayah tak sayang kami lagi ke? Kenapa ayah pukul mak? Kenapa ayah jerit-jerit dekat Maya?” kanak-kanak itu bersuara lagi. Ketakutan yang membelenggu dirinya tadi telah hilang entah ke mana. Dia tidak sanggup melihat ayahnya memukul ibunya lagi.

“ Kau ni memang tak faham bahasa kan??!! Aku cakap jangan masuk campur, jangan masuk campur la!!” suara lelaki itu semakin tinggi. Wanita yang tersungkur tadi memandang anak kecil itu dengan pandangan sayu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, memberi tanda kepada anak kecil itu supaya tidak berkata-kata lagi.

“ Maya tak nak diam. Ayah jahat!! Ayah dah tak sayang Maya!!” anak kecil itu masih berdegil walaupun dia nampak gelengan ibunya sebentar tadi.

“ Kau!!” tangan lelaki itu naik tinggi ingin memberi pengajaran kepada anaknya itu, tetapi terhalang oleh satu tangan halus dari belakangnya.

“ Abang, jangan. Jangan pukul Maya. Dia kecik lagi. Dia tak tau apa-apa.” Wanita itu bersuara. Walaupun dia takut, tetapi dia tak sanggup jika anaknya itu dipukul.

“arghhhh!!! Kau pun sama. Budak ni ikut keras kepala kau la ni!!” lelaki itu berteriak lalu menolak tubuh wanita tersebut. Wanita itu terjatuh. Tanpa disangka, tubuhnya mendarat pada meja kaca di ruang tamu tersebut. Meja tersebut pecah, menyebabkan kaca-kaca yang bertaburan mencederakan tubuh badannya. Darah mengalir dengan banyak dari tubuhnya. Wanita itu mengerang kesakitan.

“ mak!!!” suara gadis itu lantang kedengaran. Dia berlari mendapatkan ibunya itu. Wanita itu sudah tidak bersuara lagi. Matanya terpejam rapat.

“ ayah jahat!! Ayah bunuh mak!!” teriak anak kecil itu.

“a..aku..aku tak sengaja..” lelaki itu bersuara terketar-ketar. Dia takut sekiranya dia akan ditangkap. ‘aku mesti buat sesuatu. Aku tak nak masuk penjara! Aku kena hapuskan bukti.’ Terdetik kata-kata tersebut di benaknya. Dia memandang kanak-kanak kecil itu. Hati kecilnya menyalahkan kanak-kanak itu kerana jika dia tidak masuk campur tadi, perkara ini pasti tidak akan berlaku. Dia pasti tidak akan jadi pembunuh! Dia berlalu ke dapur, mencapai sebilah pisau yang terdapat di situ lalu keluar kembali.

Anak kecil itu menggigil ketakutan apabila ayahnya menghampiri dia bersama sebilah pisau yang kemas tergenggam di tangan kanan. Lelaki itu semakin hampir. Anak kecil itu terkaku di tempatnya. Tangannya kemas menggenggam tangan ibunya. Saat tangan ayahnya hampir membenamkan pisau tersebut ke tubuhnya, satu suara telah menyelamatkannya.

“ Ayah!! Ayah buat apa ni?” suara itu berteriak lalu menghampiri tubuh kaku ibunya. Matanya bersilih ganti antara ayah,ibunya, anak kecil yang berada di sebelah ibunya, dan juga adiknya yang terkaku di muka pintu sejak tadi. Anak kecil yang sedang menggenggam tangan ibunya dipandang sekali lagi dengan pandangan yang sayu.

Gadis kecil itu membalas pandangan pemilik suara tadi. “ Along..isk..iskkk..ayah..ayah bunuh mak..ayah tolak mak sampai jatuh..” dia bersuara.

“arghhh!!!!” tiba-tiba kedengaran suara lelaki yang memegang pisau tadi. Kedua-dua mereka menoleh menoleh ke arah lelaki tadi yang semakin menghampiri mereka dengan tujuan untuk menikam mereka. Bukti mesti dihapuskan!!

“ Angah!! Cepat ambil Maya!!” teriak Along sambil menolak Maya ke arah pintu rumah. “Bawak Maya pergi. Selamatkan diri korang. Along..arghhh..!!” kata-kata tersebut tidak sempat dihabiskan apabila tubuhnya terasa tikaman benda tajam dari belakang. Darah keluar dengan galak dari tubuh remaja lelaki itu.

“Along!!” dua suara bergabung menyebut nama itu. Tangan masing-masing terketar-ketar. “Maya, cepat lari!!” remaja lelaki yang terkaku di pintu tadi menarik Maya ke dalam pelukannya dan terus berlari menyelamatkan diri mereka apabila melihat ayah mereka menghayunkan langkah ke arah mereka.

“Angah!!Maya!! jangan lari!!” terdengar sayup-sayup suara itu menjerit memanggil mereka.

Langkah kaki Angah tidak berhenti. Dia tidak akan sesekali berhenti sebelum tiba ke kawasan yang terdapat ramai orang. Kedudukan rumah mereka yang agak terpencil menyebabkan orang ramai sukar untuk mengetahui apa yang terjadi di dalam rumah tersebut.

“angah..angah jangan tinggalkan Maya tau.. Maya takut..” kedengaran suara kecil itu teresak-esak di bahunya. Mujurlah tubuh Maya yang kecil itu memudahkan Mirza untuk berlari sambil mendukung adiknya itu.

“Maya jangan risau.. Angah takkan tinggalkan Maya.. Angah sayang Maya. Jangan risau ye? Angah akan pastikan kita selamat.” Jawab Mirza tanpa menghentikan lariannya. Dia perlu memastikan mereka berdua selamat. Walaupun dia turut terkejut melihat apa yang berlaku, dia perlu menyelamatkan diri mereka terlebih dahulu.

“angah jangan tinggalkan Maya..angah jangan tinggalkan Maya..” Maya tetap mengulang ayat yang sama sambil teresak-esak menangis. Kata-kata tersebut terus berulang-ulang tanpa henti.


“Maya..maya..maya, bangun. Dah subuh ni.” Maya tersentak. Dia bangun secara mengejut. Dia melihat kelilingnya. Fatin sudah siap bersarung telekung. “ jom, Maya. Dah subuh ni. Jom jemaah dengan yang lain-lain".

“Astaghfirullahalazim..”  Maya yang bagaikan baru tersedar meraup mukanya berkali-kali. Dia bermimpi lagi. Perkara yang telah lama berlaku itu kembali mengganggu tidurnya. Dia segera bangun untuk mengambil wudhu’ dan menunaikan solat subuh bersama pelatih-pelatih yang lain. Sudah menjadi rutin bagi penghuni ar-Rayyan untuk menunaikan solat secara berjemaah setiap kali waktu solat.

4 comments:

  1. best2! oooh,,dpt merasakan ade perkara lebih sedih lg akan brlaku..=_= hahah. :)

    ReplyDelete
  2. fair : ntah la..
    xtau lg nk smbg gaya cmne ni..
    menaip tanpa merancang cenggini la jadinye.
    kah3..

    ReplyDelete
  3. Jahatnye ayah maya... Apa tjadi lpas tu?

    ReplyDelete
  4. WC : hahaha..
    x pasti lg ape yg akan jd.
    pning pulak wat citer ni.
    ngeeee~~~

    ReplyDelete

click-click